Sesi Penutup Program Pemerkasaan Usahawan Mikro Ibu Tunggal B40 Melalui Latihan Dan Pemantauan Atas Talian

NILAI- 5 Mac 2021, Majlis Penutup Program Pemerkasaan Usahawan Ibu Tunggal Mikro B40 Melalui Kursus Atas Talian  telah disempurnakan oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Encik Mohammad Noorizzuddin Bin Nooh. Program ini mendapat kerjasama dengan Yayasan Hasanah Malaysia. Peserta program ini terdiri daripada 30 orang usahawan ibu tunggal B40 yang tinggal di Negeri Sembilan dan Selangor.

Kursus keusahawanan secara atas talian selama enam bulan itu yang bermula dari September 2020 hingga Februari 2021 membantu memberi pendedahan tentang ilmu dan cabang keusahawanan kerana berniaga adalah  punca utama  kelangsungan hidup mereka. Kaedah pelaksanaan kursus ini sangat bertepatan dengan norma baru perniagaan sekarang iaitu pendedahan komunikasi dan perniagaan secara atas talian.

Program ini dikendalikan secara atas talian dengan melibatkan usaha para pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dengan memberi komitmen yang tinggi dalam membantu golongan sasaran. Ketua projeknya, Encik Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, peserta program ini terdiri daripada usahawan ibu tunggal Negeri Sembilan dan Selangor yang diberi latihan keusahawanan oleh pakar dalam bidang berkenaan.

“Program ini merangkumi 15 modul untuk peserta kursus mempelajari pelbagai ilmu keusahawanan. “Ada peserta tidak pernah melibatkan diri dengan kursus keusahawanan seperti ini kerana kebanyakan kursus keusahawanan perlu dibayar tetapi kursus ini diberikan secara percuma kepada peserta yang terlibat,” katanya pada majlis penutup program di Nilai.

 Hasil daripada program ini, seramai 85.18 peratus peserta telah berjaya meningkatkan jualan mereka sepanjang tempoh enam bulan. UTHSB berharap agar kursus sebegini dapat dijalankan disetiap negeri atau daerah agar kesedaran tentang konsep keusahawanan yang betul dan E-Usahawan dapat diterapkan dikalangan golongan yang memerlukan terutama golongan ibu tunggal B40.

 Disediakan oleh: USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd